Friday, March 2, 2012

Celaru nafsu songsang

Golongan LGBT ini sedaya mungkin mahu mempromosikan seks bebas bermodalkan hak asasi biarpun menyedari ia bertentangan dengan akidah umat Islam di negara ini.
BERKUCUPAN, melakukan liwat dan oral seks sesama lelaki tidak sekelumit pun dianggap jijik, malah ia bagai luahan ‘cinta luhur’ di kalangan pengamal homoseksual di negara ini.
Biarpun mencerminkan kepincangan dalam masyarakat di negara ini, kelab gay terus membuka ahlinya, termasuk pengamal homoseksual di kalangan pelajar dan golongan profesional.

Penulis turut berjaya mendekati jiwa seorang pengamal homoseksual yang hanya mahu dikenali sebagai Dani, 35, awal Januari lalu.


Penulis hanya mampu beristighfar saat kata-kata terhambur keluar daripada lelaki berkumis rapi dan segak memakai kemeja yang penulis anggap menghidap penyakit jiwa celaru kronik.

Bukti kegiatan gay Melayu ini turut didedahkan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang turun padang melakukan penyelidikan bagi mengenal pasti sejauh mana tahap kronik masalah yang melanda masyarakat.


Beberapa pegawai terlatih Jakim dihantar ke pelosok bandar utama di Semenanjung Malaysia termasuk Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah bagi mendapatkan gambaran jelas gerakan gelap kelab gay Malaysia ini.


Hasil kajian dikumpulkan amat mengejutkan apabila bilangan golongan homoseksual yang ditemui ini cukup ramai, malah ke kawasan luar bandar.



Pertemuan di sebuah hotel terkemuka diatur bagi menemukan pihak Jakim dan orang kuat kelab gay ini bagi mendekati mereka, sekali gus cuba memujuk mengikuti program pemulihan dirancang.

Malangnya hati mereka seolah-olah tertutup rapat untuk menerima sebarang pujuk nasihat. Paling dikesalkan apabila golongan dimonopoli lelaki Melayu beragama Islam mempertahankan nilai hidup songsang dianuti.




Tidak hairanlah apabila Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Saimah Mukhtar akur tugas memujuk golongan gay terlalu getir dan sukar berbanding tugas berdakwah kepada golongan pondan atau mak nyah.




Isu gay ini diburukkan kes perkahwinan menggemparkan seorang pelajar dengan pasangan gay di Dublin, Ireland pada Disember lalu.




Keberanian pelajar tajaan Petronas di University College Dublin (UCD) itu benar-benar menyentap jiwa ramai pihak di negara ini yang mungkin beranggapan ia hanyalah isu terpencil yang tidak harus diperdebatkan.




Lebih parah apabila puluhan laman sesawang blog gay di Internet muncul bagai cendawan bagi mempromosikan budaya gay di Malaysia secara lebih aktif.


Kebimbangan mengenai kegiatan gay ini turut dilaungkan Presiden Majlis Aids Malaysia, Tan Sri Mohd Zaman Khan yang mendapati semakin ramai golongan lelaki muda Melayu menjadi pengamal homoseksual yang juga ejen penularan wabak virus HIV.


Golongan ini katanya, tidak lagi segan silu apabila berani menonjolkan diri dan menubuhkan beberapa kelab gay.


Baginya perkembangan gila itu sangat membimbangkan apabila trend jangkitan HIV atau Aids di Malaysia sudah berubah daripada jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan dadah kepada transmisi aktiviti seks songsang.


Dakwaan ini disokong fakta perangkaan bagi 2010 yang mendapati jangkitan melalui hubungan seks secara heteroseksual, homoseksual dan biseksual mencatat jumlah 48.7 peratus melebihi jangkitan melalui penggunaan jarum suntikan iaitu 47.7 peratus.


Bagi bekas pegawai kanan polis itu, pengaruh rakan gay serta sokongan padu kelab gay menjadi punca utama budaya songsang ini merebak dengan pantas di luar jangkauan.




Kenyataan menakutkan ini turut disokong Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah yang mendedahkan terdapat usaha pihak yang menyokong kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang cuba mempromosikan budaya songsang di kalangan pelajar melalui penganjuran pesta tertentu.




Menurutnya, berdasarkan maklumat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa sekolah di Lembah Klang bimbang dengan cubaan LGBT menghasut golongan remaja.




Malah, mereka ini yang turut didalangi Organisasi Progresif Gay Filipina (ProGay) sanggup menawarkan tempat berhibur, minuman keras percuma, pil khayal serta lokasi untuk melakukan seks secara bertukar-tukar pasangan. 

Golongan LGBT ini sedaya mungkin mahu mempromosikan seks bebas bermodalkan hak asasi biarpun menyedari ia bertentangan dengan akidah umat Islam di negara ini.


Benarlah kata Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood bahawa hak asasi tajaan Barat ini cuba digunakan untuk menghalal dan meminda undang-undang berkaitan homoseksual di Malaysia walaupun ia jelas perbuatan selayaknya untuk haiwan.


Menurutnya, menghalalkan gejala homoseksual atau gay hanya akan merosakkan reputasi negara Malaysia di mata dunia Islam yang selama ini menganggap Malaysia sebagai serambi Islam di Asia Timur.




Walaupun bilangan golongan homoseksual ini masih dianggap kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 28.4 juta, namun gejala kotor ini perlu dibendung daripada terus merebak di dalam masyarakat.


Jika Allah SWT tidak teragak-agak membinasakan seluruh kaum Nabi Lut dulu, perkara sama pastinya boleh berulang sekelip mata dalam pelbagai bentuk musibah bencana yang tidak terfikir oleh kita.


Penulis adalah Ketua Biro Harian Metro Perak

No comments:

Post a Comment