Monday, February 13, 2012

Tubuh Suruhanjaya Diraja

Tidak mustahil kes kematian Teoh Beng Hock juga melibatkan perkara yang sama, justeru tidak salah sekiranya suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Raja Petra itu

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian ahli perniagaan, Datuk Patrick Wong Kie Yik yang didakwa dibunuh demi menutup skandal penyelewengan pasir di Selangor.


Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah berkata, dakwaan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin itu amat serius dan satu suruhanjaya tersebut perlu dibentuk bagi menyiasat segala dakwaan tersebut.

‘‘Pakatan pembangkang juga perlu bersama-sama untuk menggesa kerajaan membentuk suruhanjaya dan tidak hanya berdiam diri apabila melibatkan kepentingan sendiri.

‘‘Jika benar pakatan pembangkang memperjuangkan integriti, pasti mereka akan sokong penubuhan suruhanjaya ini untuk menyiasat dakwaan Raja Petra tersebut kerana ia melibatkan skandal penyelewengan pemimpin sendiri di Selangor,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lebih mengejutkan, Raja Petra mendakwa, kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan pasir membabitkan pemimpin pakatan pembangkang di Selangor.

Azwandin dalam pada itu berkata, tidak mustahil kes kematian Teoh Beng Hock juga melibatkan perkara yang sama, justeru tidak salah sekiranya suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Raja Petra itu.

Turut berkongsi pandangan sama, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Syed Hasan Syed Ali yang menyifatkan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan Raja Petra itu dilihat amat perlu kerana ia melibatkan dua kes jenayah iaitu bunuh serta penyelewengan.

‘‘Siasatan terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap dakwaan tersebut dan jika benar, adalah wajar Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi memastikan mereka yang terlibat dihadap ke muka pengadilan.

‘‘Jika pakatan pembangkang boleh menggesa kerajaan tubuh suruhanjaya untuk hal-hal kecil sekalipun, tidak ada salahnya jika dalam isu itu perkara sama juga dilaksanakan,” ujarnya.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli pula menegaskan, penubuhan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan kematian Patrick kerana dibunuh amat wajar dan dilihat adil seperti yang diperoleh keluarga mendiang Beng Hock sebelum ini.