Friday, October 21, 2011

Tidak perlu referendum pengajaran Sains dan Matematik

Referendum juga tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini kerana dikhuatiri mampu mengundang konflik dan ketegangan sosial


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Majlis Belia Malaysia (MBM) berpendapat tidak perlu diadakan referendum bagi memberi pilihan kepada guru mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah.



Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, ini kerana Kementerian Pelajaran masih mendapatkan input daripada pelbagai pihak bagi menyelesaikan isu tersebut.

Selain itu referendum juga akan melibatkan sumber kerajaan dan tenaga yang banyak, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kumpulan Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang dilapor mahu mengadakan pungutan suara bagi memberi peluang ibu bapa menentukan kaedah pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk anak mereka.

Mengulas lanjut, Mohamed Maliki berkata, referendum juga tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini kerana dikhuatiri mampu mengundang konflik dan ketegangan sosial.

MBM katanya, menyokong pelaksanaan Dasar Memperkasa Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris di sekolah mulai tahun ini, kerana dasar itu bertepatan dengan keperluan negara selain menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan. - Bernama

No comments:

Post a Comment