Thursday, August 18, 2011

Tidak setuju PPSMI dimansuh


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kerajaan diminta menimbang semula keputusan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun depan.

Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, ia berikutan soal selidik yang dijalankan selama empat bulan terhadap 15,000 responden daripada kalangan ibu bapa mendapati hampir 55 peratus tidak bersetuju dua subjek itu diajar dalam bahasa Melayu.


Menurutnya, soal selidik itu dijalankan oleh JMM bermula April lalu melibatkan responden di seluruh negara.

"Hasil kajian ini begitu mengejutkan, bagaimanapun kami berpendapat pandangan ibu bapa adalah jujur mengenai impian dan harapan mereka untuk melihat anak-anak berjaya melalui penguasaan bahasa Inggeris.

"Kami yakin pandangan mereka ini tidak menolak bahasa kebangsaan biarpun latar belakang mereka berpendidikan bahasa Inggeris kerana pada masa sama mereka mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di rumah," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Azwanddin berkata, hasil kajian tersebut turut mendapati faktor demografik tidak mempengaruhi keputusan ibu bapa untuk menetapkan hala tuju anak-anak mereka pada masa hadapan.

Ini kerana, katanya, hampir 84 peratus daripada 70 peratus responden yang tinggal di luar bandar memiliki impian untuk melihat anak mereka menjadi usahawan global.

"Majoriti ibu bapa juga mahukan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti di samping 72 peratus daripada mereka memiliki harapan menghantar anak belajar ke luar negara.

"Ini jelas membuktikan betapa pentingnya penguasaan bahasa Inggeris bagi mencapai impian mereka itu," katanya.

Menyedari kepentingan itu Azwanddin berkata, laporan kajian itu akan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran dalam masa terdekat ini supaya kerajaan dapat menelitinya dan memberi pilihan kepada ibu bapa menentukan bahasa pengantar untuk pengajaran Sains dan Matematik.

"Keputusan soal selidik ini bukan mahu mencabar keputusan kerajaan, tetapi sekadar menyampaikan luahan hati ibu bapa. Kami menghormati pandangan ibu bapa biarpun Perlembagaan JMM adalah mengangkat bahasa kebangsaan, namun kami tidak bersikap hipokrit mengenai kepentingan masa hadapan anak-anak bangsa.

"Justeru, sudah sampai masanya semua pihak harus menolak emosi dan bertindak rasional dan tidak menggunakan isu ini untuk mengheret ibu bapa ke dalam kancah politik," katanya.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pada kalangan pelajar menerusi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Bagaimanapun, pada 2009, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu berkuat kuasa pada 2012, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment