Monday, August 8, 2011

Nik Aziz terus nafi jumpa Tengku Razaleigh

KOTA BHARU 5 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus menafikan dakwaan mengatakan beliau menemui Tengku Razaleigh Hamzah bagi mempelawa Ahli Parlimen Gua Musang itu mengetuai pembangkang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai berniat jahat, Nik Abdul Aziz berkata, lagi pun tidak ada sebarang perkara yang disembunyikan sepanjang hidupnya.

"Mari dari mana (berjumpa dengan Tengku Razaleigh), kalau ada, buat apa saya rahsia, dalam sejarah hidup saya tidak ada rahsia dan tuan-tuan semua tahu sendiri, tidak ada (pertemuan), mengarut.

"Saya nasihatkan orang yang buat berita itu supaya jaga akhlak, kalau akhlak buruk pun jagalah dalam bulan Ramadan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Konsep Asas Negara Berkebajikan tulisan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Pengarah Hal Ehwal Agama, Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Nik Khairul Annuar mencabar Nik Abdul Aziz supaya membuat penafian dengan al-Quran bagi membuktikan beliau atau ejennya tidak pernah mempelawa Tengku Razaleigh mengetuai pembangkang pada masa depan.

Ini kerana, penafian Nik Abdul Aziz mengenai perkara itu melalui laman Facebooknya merupakan satu penafian tidak serius dan janggal.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menegaskan pertemuan antara Nik Abdul Aziz dengan Tengku Razaleigh bagi membincangkan pelawaan pembangkang agar Ahli Parlimen Gua Musang itu menggantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang benar-benar berlaku.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, keadaan kesihatannya tidak mengganggu tugasnya untuk mentadbir negeri ini.

"Setengah orang dengar saya sakit rasa simpati, setengah orang rasa mujur. Saya pergi hospital minggu lepas selepas giliran (pemeriksaan) tiga bulan sekali, doktor kata kolestrol saya tidak ada, benda tidak ada apa.

"Tolong doa (kesihatan saya), umur saya 80 tahun, kalau saya sakit pun munasabah tetapi kalau sakit sampai ganggu kerja, saya minta maaf. Sekarang keadaan kesihatan saya tidak menganggu pentadbiran," katanya.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz menafikan beliau menghidap kanser seperti yang dilaporkan portal berita, www.kelatekito.net tetapi mengesahkan yang beliau kini menghadapi masalah saluran jantung tersumbat yang membatasi pergerakan hariannya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment