Saturday, July 9, 2011

Laporan Malaysiakini cuba menghasut - JMM

"Tindakan laman portal tersebut jelas mencabar kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila mereka cuba untuk memutarbelitkan fakta sebenar,"

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pertubuhan bukan kerajaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan portal berita pembangkang Malaysiakini yang melaporkan berita palsu mengenai permohonan permit oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk berhimpun di Stadium Merdeka esok.

Artikel tersebut menyatakan polis telah meluluskan permohonan permit untuk mengadakan perhimpunan haram itu yang telah diminta oleh pihak penganjur.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dianggap tidak benar sebaliknya pihak polis telah menolak permohonan mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini dianggap sebagai satu taktik provokasi yang cuba mengelirukan orang ramai kerana pihak polis sudah mengesahkan tiada sebarang permit diluluskan untuk perhimpunan haram itu.

"Tindakan laman portal tersebut jelas mencabar kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila mereka cuba untuk memutarbelitkan fakta sebenar," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia