Sunday, July 24, 2011

Hubungan Malaysia, Indonesia luar biasa - Dr. Bambang

Kita tidak boleh membiarkan generasi muda terpengaruh dengan omongan pihak-pihak yang sengaja mencari ruang untuk menjejaskan nama baik Malaysia di Indonesia dan begitu juga sebaliknya
JAKARTA 22 Julai - Nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang sudah sekian lama terbina harus dipelihara sampai bila-bila tanpa digugat oleh mana-mana pihak.


Senator Ezam Mohd. Nor menyelar pihak-pihak berkepentingan yang sanggup menggadai maruah bangsa dan negara semata-mata untuk mencapai matlamat peribadi.

Menurutnya, sia-sia semua perjuangan murni pemimpin terdahulu yang telah membentuk sebuah hubungan yang jujur di antara Malaysia dan Indonesia hanya angkara kerakusan pihak tertentu yang sengaja mahu melihat pergeseran antara kedua-dua negara itu.

Justeru, dalam menangkis anasir-anasir jahat itu, Ezam mengajak rakyat kedua-dua negara khususnya generasi muda kembali mendalami sejarah kebudayaan Malaysia dan Indonesia.

"Kita tidak boleh membiarkan generasi muda terpengaruh dengan omongan pihak-pihak yang sengaja mencari ruang untuk menjejaskan nama baik Malaysia di Indonesia dan begitu juga sebaliknya.

"Justeru, dalam memahami hubungan rapat Malaysia dan Indonesia, kita semua harus mengkaji sejarah panjang yang terjalin antara kedua-dua negara biarpun dalam hubungan itu ada masa tercetus isu-isu tertentu," katanya ketika ditemui selepas menyertai diskusi menilai sejarah dan kebudayaan Malaysia dan Indonesia di Universiti Indonesia di Depok di sini, semalam.

Ezam mengetuai 18 wakil dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia ke universiti tertua dan tersohor itu..

NGO yang turut menyertai diskusi itu antaranya Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Dewan Amal Islam, Institut Insani Sosial, Profesional Muda Selangor, Yayasan Generasi Baru, Kelab Belia Graduan 1Malaysia dan lain-lain.

Selain mengadakan diskusi di UI, rombongan itu juga berkunjung ke Majlis Ulama Indonesia (MUI), Nahdlatul Ulama (NU) Muhamadiyah.

Ezam memberitahu, beliau akan memanjangkan cadangan kerjasama dengan Fakulti Ilmu Budaya, Universiti Indonesia (UI) kepada Kementerian Pelajaran untuk mendekatkan dan memahami kebudayaan kedua-dua negara menerusi program pendidikan.

Menerusi kerjasama yang dirintis bersama UI, Ezam optimis, usaha berkenaan akan membantu rakyat Malaysia dan Indonesia memahami kebudayaan serumpun itu.

Menurut bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan itu, pihaknya akan segera merealisasikan kerjasama dengan UI dengan membentuk sekretariat bersama.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ilmu Budaya UI, Dr. Bambang Wibawarta berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan Malaysia untuk mempertahankan persahabatan dengan Indonesia menerusi program kerjasama ini.

Menurut Dr. Bambang, hubungan Malaysia dan Indonesia sangat luar biasa yang tidak ada pada negara-negara lain. -

Sumber: Utusan Malaysia

1 comment: