KUALA LUMPUR 1 Jun - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mempersoalkan sikap berdiam diri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pengendali The Malaysia Insider meskipun laporan telah dibuat terhadap portal berita itu.
Yang Dipertuanya, Azwanddin Hamzah berkata, JMM pada 20 Oktober tahun lalu membuat laporan mengenai portal itu kepada SKMM kerana secara jelas dan sengaja mencetus provokasi perkauman, penghinaan ke atas raja-raja Melayu dan fitnah terhadap pemimpin negara.
"Bagaimanapun, tiada tindakan yang diambil oleh SKMM terhadap portal berita itu, malah pengendalinya juga tidak dipanggil untuk siasatan.
"Malah, SKMM juga tidak memberi sebab dan penjelasan mengapa pengendali portal itu tidak dipanggil, sebaliknya hanya berdiam diri apabila JMM bertanya mengenainya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru Azwanddin menambah, JMM telah mengadakan mesyuarat pada 28 Mei lalu dan mencapai persetujuan bahawa SKMM bukan sahaja tiada taring, malah dayus untuk memanggil The Malaysian Insider bagi membantu siasatan.
Beliau turut menyifatkan SKMM sebagai 'mati pucuk' atau tidak berdaya dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang memelihara saluran komunikasi supaya tidak disalahgunakan.
JMM juga tambahnya, mahu pentadbiran SKMM dirombak bagi memastikan badan itu dapat bertindak adil dan bebas sepanjang masa dalam menjalankan tanggungjawabnya menjaga kepentingan negara.
"Kita juga menasihatkan menteri terlibat supaya jangan hanya menjadi 'menteri di mata dan Perdana Menteri di hati' yang kini lebih sibuk membina populariti sendiri di RTM.
"Kurangkan berpantun dan berperibahasa, sebaliknya perbanyakkan tindakan yang lebih berfaedah," katanya.
No comments:
Post a Comment