Tuesday, February 22, 2011

JMM tuntut Nik Aziz jelaskan cara Islamkan ahli DAP

''Ini termasuk bagaimana Nik Aziz akan meyakinkan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang pada satu ketika dahulu pernah menyatakan bahawa jika Pas mahu menubuhkan negara Islam, Pas terlebih dahulu perlu bertempur dengannya,''

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menuntut Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan mengenai agendanya untuk memperkenalkan Islam kepada ahli DAP dan seterusnya merancang mengislamkan mereka dalam masa terdekat.

Timbalan Yang Dipertua Kebangsaan JMM, Omar Saleh berkata, dalam hal ini timbul persoalan sama ada Nik Aziz sudah mempunyai pelan atau cara yang akan digunakannya bagi mencapai tujuan tersebut.

''Menteri Besar Kelantan itu perlu memberikan penjelasan cara-cara yang akan digunakan untuk mengislamkan DAP.

''Ini termasuk bagaimana Nik Aziz akan meyakinkan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang pada satu ketika dahulu pernah menyatakan bahawa jika Pas mahu menubuhkan negara Islam, Pas terlebih dahulu perlu bertempur dengannya,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia Khamis lalu menyiarkan kenyataan Nik Aziz yang menjelaskan hubungan dengan DAP membolehkan Pas memperkenalkan Islam kepada parti itu kerana perkara tersebut gagal dilakukan oleh UMNO.

Jawapan itu diberikan Mursyidul Am Pas itu berhubung kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum itu yang membangkitkan hubungan Pas dengan DAP.

Tambah Omar, pihaknya bersetuju dengan cadangan Nik Aziz yang mahu memperkenalkan Islam kepada penganut agama lain dan sebagai pemimpin, JMM yakin beliau telah mempunyai pelan dan cara pelaksanaannya nanti.

Sehubungan itu, katanya, Mursyidul Am Pas itu harus berkongsi dengan umat Islam cara yang beliau akan gunakan di dalam memastikan apa yang diucapkan dan dijanjikan beliau pada Khamis lalu benar-benar akan menjadi kenyataan.

''JMM berkeyakinan Nik Aziz sebagai pemimpin sudah pasti telah menyelidik dan mengkaji sedalam- dalamnya mengenai janji-janji beliau ini.

''Asas dan teras seorang pemimpin wajib memegang nilai jujur dan amanah terhadap diri sendiri serta pengikut-pengikutnya,'' jelasnya.