Wednesday, September 1, 2010

Jangan guna Perlembagaan utk diperalat & diperdagangkan

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tidak bersetuju mengenai tindakan ‘gimik politik’ Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk mengadakan perbahasan mengenai Perlembagaan Perseketuan yang disiarkan melalui portal Malaysian Insider.

Perlembagaan Persekutuan ialah satu-satunya dokumen undang-undang tertinggi (Supreme Law of Malaysia) yang mengandungi 181 Artikle/Perkara yang telah diguna pakai sejak dari tahun 1957.

Kemerdekaan negara yang ke-53 seharusnya diraikan oleh semua individu sebagai penghargaan kepada pemimpin-pemimpin terdahulu di atas sumbangan mereka membina dan membangun negara ini melalui permuafakatan dan saling hormat menghormati dengan berbilang bangsa disamping menjaga hak bangsa masing-masing tanpa mempertikaikan hak setiap bangsa di negara ini.

Kenyataan Nurul Izzah pada hari Kemerdekaan negara yang ke-53 telah mencerminkan bahawa beliau tidak menghormati dan memperakui sejarah pencapaian cemerlang negara sebelum dan selepas kemerdekaan.

JMM kesal dan kecewa dengan tindakan beberapa pihak dan individu-individu warganegara Malaysia sendiri yang cuba menggunakan Artikel/Pasal di dalam Perlembagaan Persekutuan sebahagian daripada alat dan pendekatan untuk meraih kepentingan agenda politik individu mahupun parti-parti politik tertentu.

JMM mempersoalkan apakah agenda dan motif sebenar tindakan Nurul Izzah untuk mengadakan perbahasan mengenai Artikel 160 Perlembagaan dengan cuba mengaitkan persoalan beliau lebih kepada persoalan peribadi. Tindakan beliau yang sengaja mengelirukan pembaca mengenai Artikel 153 dan Artikel 8(1) mempunyai tujuan tertentu mengajak pembaca-pembaca untuk mempertikaikan kontrak sosial dan Artikel 153.

Paling mengecewakan dan sangat menyedihkan berlaku kepada orang-orang Melayu apabila beberapa perlakuan yang menjijikkan oleh segelintir kecil individu berbangsa Melayu yang sanggup memperalatkan dan mempermainkan Perlembagaan Persekutuan bagi mencapai kepentingan dan populariti politik dengan mengapai-apikan keistimewaan diberikan kepada orang-orang Melayu seperti dinyatakan di dalam Artikel 153.

JMM menasihati kepada semua pihak supaya JANGAN memperdagangkan Perlembagaan Persekutuan dengan cara mempersoalkannya, mempertikaikannya, atau dan memperbahaskannya atau dengan apa jua cara sekalipun bagi mencapai agenda dan kepentingan politik peribadi.

Sebagai individu dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab serta cintakan negaranya, maka adalah WAJIB bagi setiap rakyat Malaysia menerima dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang pentadbiran negara dan bukan memperalatkannya.

JMM bimbang, pada akhirnya berlaku keruntuhan perpaduan di antara kaum yang telah diperlihara semenjak 53 tahun dengan tindak tanduk beberapa individu tidak patriotik yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman dengan memperdagangkan Perlembagaan Persekutuan sebagai tukar ganti untuk meraih sokongan politk.


Yang Benar,

“Jujur & Amanah Satu Perjuangan”


Azwanddin Hamzah
Yang DiPertua