Sunday, July 25, 2010

Kenyataan Kalimullah dipertikai

Utusan Malaysia -24/07/2010
KUALA LUMPUR 23 Julai – Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Mohd. Zahid Md. Arip mempersoalkan penafian Datuk Kalimullah Hassan kononnya beliau tidak pernah mendapat sebarang kontrak kerajaan sebelum bergelar jutawan.

Menurut Mohd. Zahid, beliau hairan dengan penafian itu kerana dakwanya, VPI International iaitu anak syarikat kepada Efficient E Solutions yang mana Kalimullah merupakan pengarahnya, memperoleh kontrak daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada September 2005.

Sedangkan menurutnya, dalam penafian Kalimullah baru-baru ini, beliau memberitahu hanya melepaskan jawatan sebagai pengarah di Efficient E Solutions pada 21 Jun 2006 iaitu selepas sembilan bulan kontrak diluluskan.

“Jadi, bagaimana Kalimullah boleh menafikan beliau tidak pernah mendapat sebarang kontrak daripada kerajaan. Malah, kontrak perkhidmatan pengimejan dan pengimbasan pengumpulan data yang bernilai RM216,090,927 itu ditandatangani untuk tempoh lima tahun.

“Kontrak yang bernombor LHDN.01/11.1/(S)/347/3/2 itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan VPI, iaitu Shaikh Aqmal Shaikh Allauddin yang merupakan rakan kongsi kepada Kalimullah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Perkasa di sini hari ini.

Beliau mengulas penafian Kalimullah berhubung segala dakwaan yang dilempar terutama mengenai pembabitannya dalam Malaysian Insider selain turut menafikan memiliki saham sebanyak 20 peratus di dalam VPI International.

Mohd. Zahid mendesak LHDN tampil menjelaskan perkara sebenar mengenai pemberian kontrak tersebut kerana rakyat ingin tahu bagaimana kontrak sebesar itu diberikan kepada sebuah syarikat sendirian berhad secara rundingan terus.

Dalam pada itu, beliau mengulangi dakwaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini bahawa Kalimullah mempunyai pegangan saham sebanyak 20 peratus dalam VPI International.

Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan komen Kalimullah berhubung pendedahan terbaru Mohd. Zahid itu gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, Mohd. Zahid turut mendedahkan tindakan seorang tokoh media yang didakwanya pernah menulis artikel mengenai bahan letupan C4 yang digunakan dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Jelasnya, artikel yang disiarkan itu mendakwa C4 hanya boleh diperoleh melalui kelulusan tertinggi Kementerian Pertahanan sedangkan fakta sebenarnya bahan letupan itu turut dimiliki oleh pihak polis.

“Kenapa beliau tidak bertindak memperbetulkan perkara itu atau tidak menyiarkan artikel yang mendahului siasatan pihak forensik. Pada saya tindakan itu bertujuan untuk menimbulkan persepsi jahat terhadap Menteri Pertahanan ketika itu,” katanya.