Thursday, June 3, 2010

Lagi Desakan Lembaga Pengarah Buat Kenyataan Kerugian Sime Darby


KUALA LUMPUR 1 Jun - Setiap Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad (Sime Darby) wajar diberi peluang untuk mempertahankan diri masing-masing melalui satu kenyataan akhbar ekoran kerugian lebih RM1.63 bilion yang dialami oleh konglomerat itu.
Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, mereka perlu berbuat demikian atas nama tanggungjawab, integriti serta ketelusan memandangkan Sime Darby merupakan syarikat berkaitan langsung dengan rakyat.
Beliau berkata, kenyataan akhbar itu perlu dikeluarkan segera oleh semua Ahli Lembaga Pengarah supaya rakyat tidak terus tertanya-tanya dan sebab punca kerugian.
''Saya percaya rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Oleh itu Ahli Lembaga Pengarah ini wajib memberi penjelasan kepada rakyat dan antara terbaik ialah melalui akhbar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 13 Mei lalu, Sime Darby mengumumkan kerugian lebih RM1.63 bilion berikutan berlakunya lebihan kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya.
Berikutan lebihan kos itu, Sime Darby bakal kerugian RM964 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 bagi projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), Maersk Oil Qatar (MOQ) (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).
Jaringan Melayu Malaysia (JMM) sebelum ini tidak bersetuju dengan saranan beberapa pihak yang mahukan kesemua Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby yang mengalami kerugian lebih RM1.63 bilion dikeluarkan daripada konglomerat itu.
Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, tindakan itu tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang timbul, sebaliknya mereka perlu diberikan peluang untuk menjelas dan mempertahankan kedudukan mereka.
Dalam pada itu Musa meminta semua Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby supaya mengamalkan sistem tadbir urus syarikat yang baik dengan tidak mengelakkan diri daripada mengeluarkan sebarang penjelasan berhubung isu berkenaan.
Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam ujar beliau tidak terkecuali daripada mengeluarkan kenyataan akhbar bagi pihak dirinya.
''Saya amat berharap tidak seorang pun Ahli Lembaga Pengarah yang cuba mengelakkan diri daripada memberi penjelasan kepada pihak akhbar.
''Selepas penjelasan dibuat rakyat boleh menilai sejauh mana pengalaman bekas pegawai tinggi kerajaan atau ahli korporat yang menganggotai Ahli Lembaga Pengarahnya relevan untuk GLC seperti Sime Darby ini.
''Apa yang penting kita tidak mahu GLC digunakan sebagai parking lot selepas mereka bersara daripada perkhidmatan kerajaan,'' katanya.
Antara mereka yang menganggotai Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby ialah Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Dr. Ariffin Mohamad Siregar, Tan Sri Samsuddin Osman, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Datuk Seri Panglima Sheng Len Tao, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
Datuk Henry Sackville Barlow, Datuk Seri Mohamed Sulaiman, Datuk Dr. Abdul Halim Ismail dan Datin Paduka Zaitoon Othman.

-Utusan Malaysia 02/06/2010

No comments:

Post a Comment