KUALA LUMPUR 3 Julai - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bimbang dengan penularan amalan-amalan ajaran sesat yang kini digerakkan secara halus melalui pertubuhan tertentu dalam kalangan masyarakat.
Baginda membangkitkan perkara itu kerana tidak mahu melihat umat Islam berpecah dan menjadi lemah dalam keadaan mereka sekarang berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), isu murtad, pluralisme agama, penghinaan dan kritikan terhadap agama Islam.
Baginda bertitah, amalan-amalan ajaran sesat yang sedang aktif di negara ini antaranya mengkafirkan para sahabat Rasulullah, mendakwa guru kumpulan berkenaan sebagai nabi dan menghalalkan beberapa perkara yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Beta tidak mahu ajaran-ajaran sesat ini meresapi minda generasi muda di sekolah, institusi pengajian tinggi dan seterusnya dalam masyarakat.
"Umat Islam pada masa ini sedang berdepan dengan pelbagai masalah yang boleh membawa kehancuran seperti LGBT, murtad dan pluralisme agama yang boleh membawa kehancuran jika tidak ditangani dengan segera dan berhemah," titah baginda pada majlis Forum Perdana Ehwal Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bandar Baru Bangi malam tadi.
Teks titah baginda diedarkan oleh Pejabat Sultan Selangor.
Titah baginda, mengikut kajian yang dijalankan semakin ramai umat Islam terlibat dalam kegiatan LGBT yang mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menggunakan Internet serta laman sosial Facebook untuk berinteraksi.
"Beta menyeru umat Islam khususnya orang Melayu supaya bersatu dan tidak berpecah-belah demi memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan agar terus dipandang mulia dan dihormati," titah baginda.
Baginda bertitah, peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara-negara bergolak sejak akhir-akhir ini memberi pengajaran bahawa perpecahan tidak akan membawa sebarang kebaikan, sebaliknya mencetuskan huru-hara dan kemusnahan kepada bangsa dan negara.
"Umat Islam di negara ini perlu bersyukur kerana kita masih dapat mengekalkan keamanan dan hidup dalam suasana harmoni dan sejahtera di antara pelbagai kaum.
"Kita semua hendaklah berusaha mengukuhkan lagi perpaduan yang masih terjalin khususnya hubungan antara umat Islam sendiri dan masyarakat lain agar kita dapat terus hidup dalam keadaan aman dan damai," titah baginda lagi.
No comments:
Post a Comment