Wednesday, January 18, 2012

Jawatankuasa basmi seks songsang, bebas ditubuh

"Kami berasakan ia adalah ancaman amat berbahaya kepada generasi muda yang mungkin akan terpengaruh dengan pembabitan pihak ini dalam memperjuangkan idealisme sesat mereka, justeru penubuhan jawatankuasa kecil ini adalah manifestasi terhadap usaha untuk mencegah amalan ini daripada terus berleluasa,"

AMPANG: Satu jawatankuasa bertindak hasil inisiatif Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan semalam, sebagai usaha mencegah dan membasmi perilaku seks songsang serta seks bebas yang semakin menular di Malaysia.
 
Jawatankuasa itu akan melancarkan siri jelajah membabitkan semua sekolah di seluruh negara bagi menyemai kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) serta seks bebas di kalangan generasi muda supaya ia boleh dicegah sejak dari awal.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, berkata peranan ibu bapa dan guru tidak boleh dinafikan berhubung isu berkenaan kerana mereka adalah tunjang kepada pembentukan jati diri anak sejak kecil.

Katanya, pertubuhan itu amat gusar dengan perilaku LGBT dan seks bebas yang semakin berleluasa di Malaysia ketika ini, apatah lagi apabila melihat ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyokong perbuatan menjijikkan itu.

"Kami berasakan ia adalah ancaman amat berbahaya kepada generasi muda yang mungkin akan terpengaruh dengan pembabitan pihak ini dalam memperjuangkan idealisme sesat mereka, justeru penubuhan jawatankuasa kecil ini adalah manifestasi terhadap usaha untuk mencegah amalan ini daripada terus berleluasa," katanya kepada media sebelum mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan di sini semalam.

Beliau mendedahkan, wujud usaha di kalangan pihak berkenaan untuk mempromosikan acara tidak bermoral seperti pesta seks dengan tajaan minuman beralkohol di kalangan pelajar sekolah di sekitar Lembah Klang.

Pihak berkenaan, katanya, menawarkan tempat dan pil khayal, malah sanggup mengugut ibu bapa sekiranya enggan membenarkan anak mereka bermalam di luar rumah.

"Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha jahat yang akan merosakkan masa depan pelajar dan seterusnya meruntuhkan institusi kekeluargaan.

"Kami juga memandang serius kenyataan beberapa pihak termasuk Majlis Peguam dan penganjur Seksualiti Merdeka, Datuk Ambiga Sreenevasan yang secara terang-terangan menyokong perilaku songsang ini atas nama hak asasi manusia," katanya.

Azwanddin berkata, masyarakat perlu faham bahawa seks bebas dan LGBT tidak boleh dikaitkan dengan hak asasi kerana setiap agama dengan jelas dan nyata menolak perbuatan tidak bermoral itu.

Malah, katanya, Seksyen 377A, 377 CA di bawah Kanun Keseksaan mengklasifikasikan amalan seks songsang itu sebagai satu perbuatan jenayah.

"Amalan LGBT dan seks bebas ini lagi, perlu ditangani melalui kempen agresif secara berterusan di seluruh negara kerana boleh merosakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam sekiranya dibiarkan berleluasa," katanya.

No comments:

Post a Comment