Thursday, December 15, 2011

Tak gentar ugutan

JMM mengesan beberapa gerakan sulit untuk mempromosi aktiviti berkenaan di kediaman tertutup, kondominium dan apartment di sekitar Lembah Klang, Petaling Jaya, Subang serta Damansara.

KUALA LUMPUR: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tetap meneruskan kempen menyedarkan masyarakat mengenai ancaman kumpulan mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) biarpun dihalang.


Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, JMM tidak gentar dengan ugutan pihak yang cuba menghalang pertubuhan itu daripada meneruskan perhimpunan dan kempen kesedaran mengenai LGBT kepada masyarakat.


“JMM mengesan beberapa gerakan sulit untuk mempromosi aktiviti berkenaan di kediaman tertutup, kondominium dan apartment di sekitar Lembah Klang, Petaling Jaya, Subang serta Damansara.


“Ia dilakukan untuk menutup mata masyarakat bahawa kumpulan itu tidak lagi mempromosikan seksualiti merdeka secara terbuka,” katanya ketika mengetuai perhimpunan membantah aktiviti mempromosi LGBT di kawasan Lembah Pantai di sini, semalam. Ia membabitkan lebih 50 orang terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan termasuk Gerakan Belia 4B Malaysia, Majlis Belia Lembah Pantai, Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM), Hindu Pertubuhan Pemuda Hindu (HYO) Lembah Pantai selain pembabitan NGO Tiong Hua dan Hindu.


JMM turut disokong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota, SK Jalan Sentul, SK Titiwangsa, SK Taman Melati, SK Desa Tun Hussein Onn dan Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Lumpur.



Selain itu, JMM mengedarkan 10,000 risalah kepada penduduk di sekitar Lembah Pantai mengenai bahaya seks bebas dan seks songsang.

No comments:

Post a Comment