Saturday, October 29, 2011

Kisah hubungan Indonesia-Malaysia ditayang 2012


"Saya juga melihat program ini sebagai permulaan yang harus diikuti oleh NGO-NGO lain di Malaysia dan Indonesia sebagai usaha membina hubungan yang lebih erat serta memupuk kesejahteraan serantau di masa hadapan,"

Sebuah program televisyen mengenai hubungan Malaysia-Indonesia melalui kerjasama Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Dewan Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah Indonesia bakal diterbitkan Januari tahun depan.




Presiden JMM, Azwanddin Hamzah (foto) berkata, program bertajuk Antara Dua Garisan itu akan memaparkan sesi temu bual bersama 12 pemimpin pelbagai peringkat yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara.

"Pemimpin-pemimpin ini akan menceritakan kisah dan sejarah hubungan antara Malaysia-Indonesia dalam usaha mencari nilai persamaan yang dikatakan serumpun itu.

"Program ini juga turut memaparkan dokumentari mengenai hubungan kerjasama yang pernah dan sedang berlaku antara kedua-dua negara untuk dijadikan panduan dan teladan kepada rakyat negara masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JMM dan Dewan Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah.

Pada majlis tersebut, JMM diwakili Azwanddin, manakala Dewan Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah oleh ketuanya, Dr. Salleh P. Daulay dan disaksikan Pengerusi Sekretariat Serantau, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim.

Menurut Azwanddin, penggambaran temu bual yang dilakukan dengan pemimpin Malaysia termasuk menteri, anggota Parlimen dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah selesai bulan lepas, manakala dengan 12 pemimpin Indonesia akan diadakan bulan depan.

Sementara itu, Salleh ketika ditemui berkata, program tersebut akan memberi keyakinan dan pemahaman kepada rakyat Indonesia bahawa tidak pernah timbul masalah atau pertelagahan besar yang mampu mengganggu-gugat silaturahim antara dua negara.

"Saya juga melihat program ini sebagai permulaan yang harus diikuti oleh NGO-NGO lain di Malaysia dan Indonesia sebagai usaha membina hubungan yang lebih erat serta memupuk kesejahteraan serantau di masa hadapan," ujarnya.

"MoU yang ditandatangani hari ini juga membuktikan komitmen tinggi JMM dan Dewan Pemimpin Pusat Pemuda Muhammadiyah dalam membina haluan yang kukuh agar tokoh-tokoh muda pada masa hadapan dapat menerima kesinambungan yang ditinggalkan pemimpin terdahulu," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment