Thursday, March 24, 2011

Majlis Pelancaran Antara Dua Garisan

TEKS UCAPAN PENUH :
UCAPAN YANG DI PERTUA JARINGAN MELAYU MALAYSIA
Ybhg.Sdra AZWANDDIN HAMZAH


Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera

Yang Berhormat  Dato' Mukhriz Tun Mahathir, Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa


Yang Dihormati Drs H Sakhyan Asmara, Staf Ahli Bidang Informasi dan Komunikasi Pemuda dan Olahraga Indonesia.


Y.Bhg.Tan Sri-Tan Sri , Dato’-Dato’,Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

Terlebih dahulu saya bagi pihak Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia ( JMM )  berterima kasih kepada Drs Sakhyan Asmara, Staf Ahli Menteri Negara Pemuda dan Olahraga Indonesia, serta Dato' Mukhriz Tun Mahathir, kerana dapat juga hadir pada pelancaran Rancangan Television Antara Dua Garisan.


Program Antara Dua Garisan merupakan program yang  akan menjadi titik perkongsian isu, bahasa, hubungan diplomatik serta ekonomi yang diilhamkan oleh JMM. Ianya akan menjadi satu medium bagi  pemuafakatan Malaysia dan Indonesia. Hubungan Malaysia dan Indonesia sudah terjalin sejak lama lagi, kesinambungan ini diteruskan lagi dengan program Antara Dua Garisan yang membabitkan pemimpin-pemimpin kedua-dua negara.


Sudah semestinya  cabaran  dari segi politik dan ekonomi dilihat subjek utama program ini diadakan. Komitmen pemimpin kedua negara bagi menjadikan Antara Dua Garisan sebagai wadah perjuangan serta pentas menyatakan pendirian terhadap sebarang isu amat disanjungi. Program ini yang akan diterjemahkan sebagai satu rancangan forum akan disiarkan di media elektronik di kedua-dua negara.


Program ini akan mengupas secara terperinci tentang dasar-dasar negara yang melibatkan pembangunan ekonomi sejagat.

Alhamdulillah, Stesyen Televisyen TVRI  dan Metro TV Indonesia telah bersetuju melaksanakan program Antara Dua Garisan ini. Sehingga kini, lapan( 8) Timbalan Menteri Malaysia dan Indonesia serta enam(6) Menteri dan tokoh negara Malaysia dan Indonesia telah memberi komitmen untuk rancangan ini.

Selain itu, program ini juga secara tidak langsung dapat memberikan gambaran sebenar tentang keakraban kedua negara dalam menangani masalah-masalah semasa.

Dengan wujudnya rancangan ini, maka pihak JMM berharap segala mesej dapat disampaikan kepada masyarakat serta rakyat kedua-dua negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

JMM merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan (ROS) meletakkan agenda penyatuan bangsa Melayu sebagai visi utamanya.

JMM ditubuhkan atas kesedaran yang amat tinggi terhadap perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara berpaksikan di atas asas perjuangan jujur dan amanah.

Masyarakat kedua-dua negara selalu beranggapan bahawa terdapat jurang perbezaan yang besar di antara kedua-dua negara ini. Ini adalah kesan daripada tindakan yang dilakukan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab memperlekehkan serta memberi gambaran yang kabur berkaitan isu di negara Malaysia dan Indonesia.

Selari dengan matlamat JMM, ingin saya tegaskan bahawa JMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggunakan sebarang pengaruh asing dengan niat dan agenda jahat  untuk memecah belah perpaduan dan keharmonian bangsa, baik di dalam negara mahupun hubungan sesama negara-negara jiran khususnya negara Indonesia yang selama ini dianggap ‘abang’ kepada Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

Maka dengan itu, JMM telah mengambil inisiatif bekerjasama melalui beberapa siri perbincangan dan dialog meja bulat bersama-sama beberapa NGO Indonesia.

Hasilnya lahirlah pernerbitan rancangan televison yang dinamakan Antara Dua Garisan sebagai wadah dan hasrat murni rakyat dikedua-dua negara ini untuk menikmati persamaan yang telah dikongsikan bersama sejak sekian lama demi kepentingan bersama bagi menghadapi arus politik dan ekonomi dunia yang semakin mengalami pelbagai ‘tsunami’.

Pejuangan JMM bukan sekadar misi dan visi, malah kami berharap agar usaha murni ini dapat dimanafaatkan oleh masyarakat kedua-dua negara dalam mengembangkan diri dan sosio-ekonomi dalam membentuk sebuah perpaduan serantau yang jujur dan amanah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

JMM juga yakin bahawa masyarakat dikedua-dua negara berasa sedih dan dukacita di atas pelbagai tindakan provokasi yang telah dilakukan oleh segelintir pihak yang sengaja mengambil tindakan biadap mengeruhkan hubungan bangsa Malaysia dan Bangsa Indonesia bagi kepentingan peribadi.

Dengan itu untuk memastikan generasi yang akan datang dapat menikmati dan berkongsi persamaan yang telah dicapai sebelum ini, maka matlamat JMM juga memastikan hak-hak dan keistimewaan bangsa Melayu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara terus dipertahankan.

Begitu juga untuk melahirkan bangsa Melayu yang mampu bersaing di peringkat global serta mampu meneruskan kesinambungan yang telah dicapai oleh pemimpin di kedua-dua negara, bangsa Melayu harus memiliki nilai jujur dan amanah terhadap diri sendiri serta masyarakat yang mendokongnya.

Teras pembangunan jati diri bagi mana-mana pemimpin baik diperingkat nasional, korperat, pentadbir awam mahupun di peringkat institusi keluarga, harus mengangkat intergriti sebagai asas kepimpinan.         

Hanya dengan nilai intergriti berlandaskan jujur dan amanah maka kita dapat menangani pelbagai masalah sosial masyarakat seperti hasad dengki, iri hati, berbalah sesama sendiri akibat daripada kegagalan mengawal nafsu diri terhadap cita-cita kepada kuasa dan materialistik. Asas inilah yang sering dilafazkan oleh JMM sebagai peringatan kepada diri agar memartabatkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang mampu bersaing sesama sendiri serta bangsa-bangsa lain dengan niat jujur dan amanah.

Matlamat JMM juga mahu melihat iktisad dan pelajaran bangsa Melayu diberikan keutamaan dengan memastikan anak-anak muda yang masih diperingkat pendidikan diterapkan nilai intergriti.

Untuk mencapai matlamat ini,  JMM sering mengadakan dialog dan persidangan meja bulat bersama- sama dengan pelajar-pelajar di Universti dan juga golongan proffesional bagi menerapkan kepimpinan berintergriti. Hasrat JMM agar anak-anak muda yang dibentuk ini dapat mengurus sumber asset negara dengan effektif dan effesien memandu bangsa Melayu bersaing sesama bangsa dan bangsa–bangsa lain dengan asas jujur dan amanah.

Hasil daripada banyak persidangan meja bulat tersebut, JMM merumuskan generasi muda harus diberikan peluang dan ruang mencorak dunia baru yang semakin menuntut pembaharuan melalui ideologi-ideologi yang mampu membina jaringan masyarakat yang mempunyai titik persamaan yang boleh dikongsi bersama-sama demi kebaikan sejagat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang dibina dari rumpun yang sama, berkongsi bahasa yang sama, menuntut agama yang sama, menikmati budaya yang sama tidak seharusnya diporak peranda oleh mana-mana pihak yang sengaja mahu mencatur agar kedua-dua negara ini bermusuhan supaya mereka boleh mengambil kesempatan melaksanakan agenda jahat yang terancang.

Maka dengan itu, JMM akan terus mempertahankan maruah negara supaya aman dan sejahtera dengan apa jua cara sekalipun agar hubungan adik dan abang ini terus dipertahankan demi generasi yang akan datang.

JMM tegas dan terus berikrar bahawasanya bagi memartabatkan Bangsa Melayu sebagai bangsa yang berwawasan dan dihormati di peringkat global,  asas jujur dan amanah sudah semestinya wajib disematkan dan diterapkan di dalam diri pada setiap masa. JMM terus akan menjadi  rakan kepada mana-mana pihak yang mendukung asas jujur dan amanah asas kepimpinan berintegriti.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

JMM mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi  Yayasan Nusantara, Y.B. Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor, kerana telah membuka ruang untuk JMM menjalinkan jaringan hubungan NGO-NGO di Indonesia.

Terima kasih juga kepada pihak penaja, pihak media serta tidak dilupakan mereka yang  terlibat secara langsung bagi melaksanakan rancangan ini.

Akhir kata saya “nafsu ialah musuh dalaman yang paling berbahaya, ia umpama kuda liar yang jika tidak dipukul, dilatih dan dijinakkan akan sentiasa ganas dan menendang”

No comments:

Post a Comment