Monday, February 7, 2011

JMM gesa Nik Aziz tidak kelirukan rakyat

KUALA LUMPUR: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat menjelaskan sikap pilih kasih dalam mengamalkan prinsip agama dan moral termasuk ketika melabel penyokong Barisan Nasional (BN) sebagai jahiliah. 

Setiausaha Agung JMM, Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian, berkata penjelasan Mursyidul Am PAS itu perlu bagi mengelak rakyat terus keliru dengan kenyataan beliau yang jelas bertujuan menjaga kepentingan politiknya. 


“Kenapa perlu anggap tindakan orang yang tidak menyokong pendirian politiknya sebagai haram atau kafir tetapi menghalalkan orang yang menyokongnya?


“Tindakannya jelas sentiasa berubah mengikut keperluan dan keadaan mendesak. Beliau perlu jelaskan kepada rakyat,” katanya semalam.

Beliau merujuk kenyataan Nik Aziz ketika kempen pilihan raya kecil Tenang, Johor bulan lalu yang menyifatkan mereka yang tidak mengundi PAS sebagai jahiliah. Kenyataan itu dikeluarkan ketika perjumpaan dan siri ceramah ringkas kepada penduduk di situ.

Jahiliah berasal daripada perkataan ‘jahala' atau kata terbitan ‘jahlun' bermaksud bodoh dan sesat atau jahil yang merujuk kepada masyarakat Arab Jahiliah di Semenanjung Tanah Arab lebih kurang 1,400 tahun dulu ketika mereka masih mundur dari segi akhlak dan moral.

JMM turut mempersoalkan kenapa Nik Aziz menyokong bukan Islam menggunakan ayat suci al-Quran dalam ceramah mereka yang jelas bertujuan meraih sokongan pengundi sedangkan sikap itu jelas bertentangan dengan kenyataannya pada 1990-an yang mengatakan orang tidak mahir dalam Islam tidak layak berbicara mengenai Islam tetapi Nik Aziz menyokong tindakan itu apabila ia berkaitan dengan politiknya.

“Kenapa membiarkan bukan Islam mempolitikkan al-Quran? Jangan jadikan ia alasan politik,” katanya.

Tengku Amalluddin berkata, tindakan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat sikap Nik Aziz seolah-olah menganggap ketua pakatan pembangkang itu guru politik dan idolanya.

“Antara mereka banyak persamaan watak dan perilaku,” katanya.

JMM memberi contoh bagaimana Nik Aziz cakap tak serupa bikin apabila menuduh kerajaan mengamalkan kronisme sedangkan ada isu membabitkan menantunya.

Abdul Ariffahmi Ab Rahman terbabit krisis Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK sebelum meletak jawatan. Kes itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

sumber: Berita Harian