Wednesday, February 2, 2011

Cari jalan ‘tutup mulut’ Nik Aziz

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Pas harus mencari jalan untuk ‘menutup mulut’ Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering kali mengeluarkan fatwa politik kerana ia mampu merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ‘fatwa’ yang keluar dari mulut Nik Aziz juga sering kali bertentangan dengan pendapat Dewan Ulama Pas dan parti itu.


‘‘Pas hendaklah mencari jalan menutup mulut beliau (Nik Abdul Aziz) yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

‘‘Lagipun, pendapat beliau bukan pendapat Dewan Ulama Pas, jauh sekali pendapat daripada badan induk Pas,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Nik Aziz yang sejak kebelakangan ini sering kali mengundang kontroversi.

Terbaru, Menteri Besar Kelantan itu melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong calonnya sebagai orang jahiliah.

Nik Aziz berkata demikian pada sidang akhbar di Kampung Radong selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen untuk Pilihan Raya Kecil DUN Tenang beberapa hari yang lalu.

Pendapat beliau berhubung serangan Lee Kuan Yew terhadap Islam juga dilihat seakan-akan mempertahankan serta merelakan perbuatan Menteri Mentor Singapura itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, fatwa Nik Aziz berkaitan politik juga sering berubah-ubah dan tidak berlandaskan nas serta ijmak ulama.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Mursyidul Am Pas itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita pembangkang tercapai dan dendam mereka terbalas walaupun agama dijadikan galang gantinya.

‘‘Apa saja yang menguntungkan politik Pas akan dibiarkan berlaku walaupun ia diketahui akan menjejaskan kedudukan agama Islam,’’ ujar beliau.

Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh pula berpendapat, Nik Aziz terlalu banyak menggunakan agama untuk kepentingan politik beliau.

‘‘Saya ingin bertanya kepada beliau, apakah status nenek moyang saya dan mereka yang tidak mengundi Pas sebelum Pas diwujudkan. Adakah mereka ini kafir seperti ‘fatwa’ yang dikeluarkan Pas?

‘‘Jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disifatkan sebagai pelacur politik, saya ingin bertanya, apakah Nik Aziz ini pelacur agama kerana sikap beliau yang memperdagangkan agama demi memuaskan nafsu untuk berkuasa.

‘‘Anwar dan Nik Aziz ialah gambaran manusia ‘putar alam’ yang sanggup menjadi pak turut kepada DAP. Nik Aziz sendiri telah memperdagangkan Islam demi kepentingan politik DAP,’’ tambahnya.