Wednesday, December 8, 2010

Sultan Perak tegur Melayu pertikai status keistimewaan

KUALA KANGSAR 7 Dis. - Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara.


Baginda menegaskan jika perkara itu dilakukan di kalangan orang Melayu sendiri maka mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan dan derhaka kepada bangsanya sendiri.

"Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian daripada perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka. Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan tetapi turut mewarisi tanggung jawab kepada agama dan bangsa, memastikan wasiat tersebut terus dijunjung.

Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit, takut-takut nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran lalu berdagang di tanah sendiri, laksana ayam kelaparan di kepuk dan itik kehausan di air," titah baginda semasa merasmikan Majlis Sambutan Ma'al Hijrah peringkat negeri Perak di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Titahnya, amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.- Bernama

No comments:

Post a Comment