Monday, November 29, 2010

JMM kecewa Kalimullah salahkan media

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta ahli perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Hassan tidak menjadikan media sebagai sasaran untuk melepaskan tekanan apabila pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, Kalimullah sepatutnya mendokong keterbukaan dan kebebasan media sebagaimana beliau laung dan uar-uarkan semasa terlibat menerajui media.


Katanya, JMM telah membuat beberapa pendedahan mengenai Kalimullah tetapi masih belum mendapat maklum balas, sebaliknya beliau menyalahkan pihak media kerana membuat liputan mengenai pendedahan tersebut.

‘‘Kalimullah sepatutnya berani tampil ke depan untuk menafikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan bukan menjadikan media sebagai sasaran untuk melepaskan tekanan.

‘‘Beliau boleh mengambil tindakan undang-undang untuk membuktikan tuduhan tersebut tidak benar tetapi tidak boleh menyalahkan pihak media dalam hal ini kerana mereka hanya menjalankan tugas,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, JMM mendakwa Kalimullah terlibat dalam satu pertemuan rahsia dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada November tahun lalu serta terlibat dalam melindungi pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang sering memburukkan kepimpinan negara dan kini melarikan diri ke United Kingdom.

JMM juga pernah mengaitkan Kalimullah mempunyai kepentingan dalam syarikat Efficient E-Solutions Bhd. dan Regalia Records Management Sdn. Bhd. yang didakwa menaja portal berita The Malaysian Insider.

Menurut Azwanddin, Kalimullah sepatutnya lebih faham dengan situasi tersebut kerana beliau pernah menjadi ketua editor sebuah media arus perdana.

Katanya, beliau seharusnya bersikap lebih profesional kerana memahami peranan media dalam memberikan liputan kepada masyarakat.
-sumber Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment