Monday, June 28, 2010

KSU paling berkuasa.... Mencemar nama Menteri dan Kementerian

Jaringan Melayu Malaysia ingin mengulas dan memberikan cadangan mengenai rencana yang telah ditulis oleh Awang Selamat di dalam akhbar Utusan Malaysia di dalam ruangan Bisik- Bisik Mingguan bertarikh 27hb Jun 2010 mengenai KSU paling berkuasa…

JMM amat bersetuju dengan pendapat yang telah beliau tulis mengenai tindak-tanduk Ketua Setiausaha (KSU) yang digelar Napoleon kecil di kementerian yang tidak menjalankan tugas dengan integriti bukan sekadar bermaksud menghindari dari perlakuan rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan wang ringgit. Integriti merangkumi skop yang lebih luas seperti integriti dalam pengurusan masa, integriti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, integriti dalam menyampaikan maklumat dan sebagainya.

Sebagai KSU, mereka adalah penjawat awam yang tertinggi di dalam kementerian dan bertangungjawab terhadap penyampaian dan pemantauan terhadap setiap polisi-polisi yang telah dirancang dan dipersetujui oleh Jemaah Kabinet.

Namun begitu, beberapa KSU dilihat tidak memiliki asas jati diri iaitu tidak kompeten dan tidak memegang amanah dan bertanggungjawab seperti kelewatan penyampaian yang tidak dijalankan mengikut masa, projek pembangunan rakyat yang lewat diluluskan, kerenah birokrasi yang sengaja diadakan dan sebagainya.

Disebabkan berlaku kelewatan ini, segala perancangan pembangunan untuk rakyat oleh Jemaah Menteri tergendala. Menteri di kementerian tersebut terpaksa berhadapan dengan media dan pembangkang bagi memperjelaskan kelewatan penyampaian projek pembangunan untuk rakyat.

Apabila ini berlaku, KSU di kementerian terbabit hanya bersikap berdiam diri dan bersembunyi di belakang Menteri mereka. Bila ditanya Menteri, jawapan yang paling mudah akan diberikan ialah mempersalahkan individu-individu lain sedangkan kelulusan, pemberian tender dan penyampaian-penyampaian lain adalah di bawah kuasa KSU.

Alasan yang sering dikemukakan kepada Menteri ialah Ketua Pengarah dan Pengarah-Pengarah di kementerian lambat mengeluarkan borang tender, lambat memproses tender, tidak effisien dan sebagainya sedangkan mereka sebagai kumpulan perlaksana belum menerima memo dari KSU untuk berbuat demikian. Tindakan sengaja menangguhkan kelulusan tidak lain dan tidak bukan hanya untuk kepentingan diri kerana jika berlakupun kegagalan dan kelewatan KSU tidak perlu menjawab kepada media dan rakyat.

Sikap Napoleon kecil ini mesti dihapuskan segera. Mereka sebenarnya yang telah mencemarkan kredibiliti Menteri-Menteri dan penjawat awam yang komited di kementerian.

Laungan “we must deliver and we must deliver with intergrity” hanyalah satu laungan yang tidak jujur dari Napoleon kecil yang sering melakukan penyelewengan secara diam-diam dan dilakukan dengan “bijaksana” berdasarkan wujudnya kelemahan-kelemahan di dalam sistem penyampaian. Mereka sengaja membiarkan kelemahan tersebut tanpa diperbaiki untuk menjaga kepentingan diri sendiri bagi memudahkan peluang mendapatkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Jemaah Menteri hanyalah pembuat dasar (“law-maker”) dan menetapkan polisi di kementerian. Dari segi hirarkinya, KSU tidak bertanggungkawab kepada Menteri kerana Menteri bukan penjawat awam. Maka kuasa sebenarnya di dalam kementerian adalah di bawah kuasa KSU yang dilantik oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Perdana Menteri telah melaungkan Transformasi dalam penjawat-penjawat awam, maka sewajarnya KSU sebagai pejawat awam yang tertinggi di dalam kementerian menyahut cabaran ini bagi memperbetulkan jati diri dengan kembali memberikan perkhidmatan yang jujur dan amanah serta menolak kepentingan diri dan keluarga bagi memastikan sistem penyampaian dapat dilaksanakan oleh Ketua Pengarah dan Pengarah-Pengarah di dalam kementerian masing-masing.

Tranformasi dalam perlantikkan KSU juga mesti diberikan perhatian dan penilaian yang mendalam. Sudah sampai masanya sistem yang diperkenalkan British iaitu “Secretary General” dipilih dari mereka mempunyai latar belakang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) mesti dikaji semula.

Jawatan KSU tidak boleh lagi diklasifikasi sebagai jawatan esklusif yang dikhaskan kepada kategori PTD tetapi wajar juga dibuka kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sudah sampai masanya juga mereka mesti dipertanggungjawab (bukan Menteri) di atas kelewatan dan kegagalan sistem penyampaian dan pemantauan projek-projek pembangunan untuk rakyat.

JMM meminta Jemaah Menteri mempertimbangkan cadangan-cadangan ini supaya kita boleh mencegah akan wujudnya Napoloen kecil yang merasakan diri mereka “untouchable”.

Yang Benar,
Azwanddin bin Hamzah
Yang Dipertua

No comments:

Post a Comment