Sunday, May 22, 2011

SKMM tidak boleh berdiam diri

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kredibiliti serta kewibawaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikhuatiri semakin terjejas ekoran dakwaan badan tersebut tidak tegas dalam menangani isu berkaitan kandungan sensitif dalam media baru.

Ketua Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, SKMM perlu segera menjawab dakwaan yang dilemparkan kepadanya dan tidak boleh terus mengambil pendekatan berdiam diri.




"SKMM tidak boleh terus berdiam diri. Mereka perlu memberi jawapan kukuh terhadap dakwaan tersebut kerana jika tidak, saya khuatir orang ramai akan mula meragui kredibilitinya sebagai badan yang mengawal hal-hal berkaitan komunikasi dan multimedia di negara ini.

"Sekiranya laporan yang dibuat oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) terhadap portal berita The Malaysian Insider itu betul, jadi SKMM perlu segera mengambil tindakan dengan memulakan siasatan. SKMM sebagai badan yang bebas perlu melakukannya bagi mengelak wujudnya prasangka buruk terhadap badan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan JMM bahawa SKMM sudah tidak mempunyai peranan dan kehilangan taring apabila tidak mengambil sebarang tindakan ke atas portal berita The Malaysian Insider yang dikatakan terkenal dengan artikel biadab serta cuba membangkitkan isu perkauman bersifat anti-Melayu.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, tindakan SKMM yang berdiam diri serta tidak mengambil sebarang tindakan terhadap laporan yang dibuat oleh JMM itu mengelirukan rakyat.

Katanya, sebelum ini juga banyak berlaku kes membabitkan blog serta orang perseorangan tetapi tiada tindakan tegas diambil oleh SKMM.

"Saya harap SKMM dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini. Masyarakat sudah mula keliru dengan peranan SKMM yang sepatutnya bertindak pantas serta tegas terhadap golongan yang didapati bersalah di bawah akta berkaitan dengan komunikasi dan multimedia," katanya.

No comments:

Post a Comment