Sunday, March 4, 2012

NGO Islam bantah resolusi PBB iktiraf kedudukan LGBT

KUALA LUMPUR 2 Mac — Sekumpulan 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini mengadakan perhimpunan aman di Masjid Negara di sini bagi membantah resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf kedudukan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Antara NGO yang menyertai perhimpunan selepas solat Jumaat itu ialah Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya berkata, pihaknya dan NGO Islam lain mahu memastikan aktiviti LGBT di negara ini tidak menyalahi lunas agama dan nilai kemanusiaan.

Pembela juga akan terus menentang usaha yang mengetengahkan nilai-nilai yang menyalahi fitrah kemanusiaan, sekali gus mengelak kekeliruan terhadap orang ramai, katanya kepada pemberita pada perhimpunan itu.

Pada 17 Jun 2011, PBB meluluskan resolusi mengiktiraf kedudukan lesbian, gay, bisexual dan transgender dalam konteks orientasi seksual, kesamarataan gender dan perkahwinan sejenis.

Malaysia antara 19 negara yang menentang resolusi itu berbanding 23 negara yang menyokong. - BERNAMA
 
Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment