Sunday, July 24, 2011

The Malaysian Insider undang perpecahan, rekrut pembangkang

JMM akan meneruskan kempen Gerakan Anti Malaysian Insider (GAMI) bagi menyedarkan masyarakat tentang cubaannya yang memecahbelahkan rakyat di samping menyeru SKMM untuk bertindak segera

KUALA LUMPUR 19 Julai - Portal berita propembangkang, The Malaysian Insider terus dikecam oleh beberapa pihak kerana dilihat sengaja mengundang perpecahan kaum serta cuba 'merekrut' penyokong pembangkang melalui penyiaran komen negatif para pembacanya.

Menurut Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, perbuatan tidak bertanggungjawab portal itu jelas terbukti apabila ia 'mencedok' laporan Bernama mengenai pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Pope Benedict XV1 di Rom, Itali, semalam.

Selepas itu katanya, The Malaysian Insider dengan sengaja menyiarkan pula komen-komen yang memperlekehkan pertemuan kedua-dua tokoh tersebut di bawah laporan berkenaan.

"Ini menunjukkan The Malaysian Insider langsung tidak mempunyai kredibiliti dengan cuba memecah belahkan masyarakat pelbagai anutan agama di negara ini melalui komen peribadi individu yang bukan merupakan suara majoriti rakyat.

"Persoalannya, sampai bilakah pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mahu berdiam diri dan membiarkan pengendali portal sebegini terus menunjukkan belang mereka?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, portal propembangkang itu memetik laporan Bernama mengenai pertemuan Najib dan Pope Benedict serta menyiarkan 102 komen negatif pembaca yang memperlekehkan usaha murni tersebut selain mengutuk Perkasa serta akhbar Utusan Malaysia.

Antara komen itu mengatakan Perkasa menerusi Ibrahim dan Utusan Malaysia sering memusuhi para penganut agama selain Islam di negara ini melalui kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut dan laporan akhbar ini.

Ibrahim menambah, portal itu sengaja bertindak bodoh dengan membenarkan komen sebegitu walhal para pengendalinya sedar Perkasa serta Utusan Malaysia hanya bertindak mendaulatkan Perlembagaan Negara yang memberi kedudukan istimewa untuk agama Islam.

"Malaysian Insider sebelum ini bising mengatakan saya memusuhi penganut Kristian, walhal saya cuba memerangi pihak tertentu mengenai laporan perjumpaan pastor di Pulau Pinang yang cuba menjadikan penganut Kristian sebagai Perdana Menteri negara kita.

"Tetapi anda lihatlah sendiri, rakan Facebook The Malaysian Insider berapa sangat kalau nak dibandingkan dengan rakan Facebook Utusan Malaysia. Portal itu macam kudis sahaja dan itu tanda kredibiliti kedua-dua agensi berita tersebut," tegasnya.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula memberitahu, portal itu memang dikesan cuba menimbulkan provokasi dalam kalangan para penganut agama negara ini sejak sekian lama dan pelbagai laporan telah dikemukakan kepada SKMM mengenai tindakan tidak bertanggungjawab itu.

"Kami tidak akan berdiam diri dengan portal tidak bertanggungjawab itu yang secara halus cuba mencabar kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

"JMM akan meneruskan kempen Gerakan Anti Malaysian Insider (GAMI) bagi menyedarkan masyarakat tentang cubaannya yang memecahbelahkan rakyat di samping menyeru SKMM untuk bertindak segera," katanya.

Bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, beliau percaya terdapat pihak tertentu di belakang portal itu yang cuba mencemarkan imej serta pentadbiran Najib melalui komen para pembacanya.

"The Malaysian Insider sekali lagi menjadi batu api dan penghasut bagi tujuan mempersendakan usaha murni yang dibuat oleh Najib untuk mendekati penganut Kristian global, sesuai dengan tuntutan Islam iaitu supaya umat manusia berbaik-baik sesama sendiri.
"Agenda Najib ialah untuk memperbaiki imej Malaysia yang antaranya berpunca daripada laporan berat sebelah portal seperti The Malaysian Insider dan Malaysiakini, tetapi usaha ini telah memberikan ruang dan peluang kepada portal-portal itu menggagalkan usaha tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment