Wednesday, December 1, 2010

Lagi pertikai Anwar 'anugerah Tuhan'

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pihak yang menggelar dan mempertahankan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'anugerah Tuhan' layak digelar orang kurang siuman.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, orang Melayu yang waras tidak akan sesekali menggadaikan maruah bangsa daripada dikorbankan semata-mata untuk meraih kepentingan politik.

Menurutnya, kenyataan yang diucapkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail seperti sudah kehabisan modal hingga perlu memuji suami sendiri di depan khalayak ramai.

"Wan Azizah ini seperti pemimpin boneka yang tidak tahu apa yang dia cakap sehingga perlu memuji suami untuk mengembalikan keyakinan ahli PKR," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhammad Zahid mengulas kenyataan Dr. Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar bagi merasmikan Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh yang menyifatkan Anwar sebagai 'anugerah Tuhan' bagi memimpin rakyat negara ini.

Menurut Dr. Wan Azizah, suaminya ialah seorang insan hebat yang bersifat amanah, tegas serta berani dan kewibawaannya terserlah sejak zaman remaja lagi.

Tambah Muhammad Zahid lagi, Anwar memang mengharapkan perwakilan memuji beliau untuk menunjukkan di mata ahli PKR bahawa beliau masih mempunyai sokongan teguh daripada akar umbi.

"Walaupun Wan Azizah tahu perangai buruk suaminya, dia tetap mahu menyokong kerana takut imej suaminya akan terus jatuh," ujarnya.

Sementara itu, bekas pemimpin PKR, Ruslan Kassim berkata, kenyataan Presiden PKR itu ibarat pihak yang terdesak kerana menyedari ramai ahlinya telah bertindak keluar parti.

"Ucapan Wan Azizah seperti cuba menegakkan benang yang basah kerana orang sudah tahu perkara sebenar dan tidak akan terus terpedaya lagi," jelasnya.

Menurutnya, PKR sedang menghadapi nilai krisis yang teruk dan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bakal menamatkan riwayat parti itu.

"Parti itu sekarang menghadapi masalah kepimpinan serta krisis keyakinan daripada ahli parti dan boleh dikatakan riwayat PKR sudah seperti nyawa-nyawa ikan," katanya.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula menyelar kenyataan Dr. Wan Azizah itu kerana berpandangan ia merupakan satu tindakan jahat ahli politik berkenaan yang bertujuan memecahbelah perpaduan dan semangat setiakawan seperti amalan pemimpin terdahulu.

"Kenyataan Datin Seri Dr. Wan Azizah menentang ketuanan Melayu secara terang-terangnya merupakan satu penghinaan yang besar terhadap raja-raja Melayu dan orang Melayu.

"JMM mengingatkan beliau supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana beliau juga pernah merasai nikmat hasil daripada ketuanan Melayu dengan diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran melalui kemudahan yang diterima," tegasnya.

Justeru katanya, JMM menyifatkan kenyataan Dr. Wan Azizah seiringan dengan tindakan Anwar yang sengaja menjalankan agenda provokasi isu-isu sensitif dengan menyentuh hal berkenaan kaum untuk memecahbelahkan perpaduan serta keharmonian negara.

sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment