Wednesday, May 12, 2010

Tender RM900juta patut diserahkan kepada GLC

KUALA LUMPUR 4 Mei - Senator Ezam Mohd. Noor yang bangun mencelah buat pertama kali dalam sesi perbahasan di Dewan Negara hari ini, mempertikaikan kenapa satu tender kerajaan bernilai RM900 juta dianugerahkan kepada sebuah syarikat 'Sdn. Bhd.' secara rundingan terus walaupun ia membabitkan projek kritikal.
Beliau berkata, adalah lebih baik tender berkaitan kerja-kerja penyimpanan rekod pembayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu diserahkan kepada syarikat milik kerajaan (GLC).
Ezam sehubungan itu mahu perkara tersebut dibawa ke pengetahuan Dewan Negara untuk tindakan yang sewajarnya.
"Pemberian kontrak (LHDN) kepada syarikat Efficient E-Solution sebanyak RM900 juta membabitkan persoalan kritikal, mengapa tidak membabitkan GLC?
"Kenapa syarikat Sdn. Bhd. mendapatnya secara rundingan terus dalam projek LHDN yang kritikal daripada sudut keselamatan," katanya yang mencelah sewaktu sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan desakan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menjelaskan hubungan beliau dengan seorang ahli perniagaan, Shaikh Akmal Shaikh Alaudin iaitu Pengarah Syarikat E-Efficient Solution.
JMM turut mendakwa syarikat berkenaan telah mendapat kontrak kerja-kerja penyimpanan rekod LHDN bernilai RM900 juta secara rundingan terus.
Isu yang dibangkitkan Ezam mendapat sokongan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir yang mahu pemberian tender berkenaan disiasat.
Kata Musa, pendirian itu adalah kerana laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini menyebut individu tertentu di sebalik syarikat berkenaan mempunyai hubungan dengan pengendali portal berita propembangkang Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.
"Syarikat ini mendapat ganjaran dan kemudiannya bantu pengkhianat negara," tegasnya.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein sewaktu menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan mengesahkan pemberian tender berkenaan dibuat secara rundingan terus.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan nilai tender berkenaan adalah RM585 juta, bukannya RM900 juta sebagaimana yang didakwa.
-sumber Utusan Online 4Mei2010

1 comment:

  1. Saya rasa tiada GLC yang berkemampuan melaksanakan project itu

    ReplyDelete