Wednesday, January 30, 2013

Kempen 'Jom Tolak Pakatan'


SHAH ALAM 8 Jan. - Seramai 150,000 ahli mewakili 40 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor hari ini menyatakan pendirian mereka menolak pakatan pembangkang yang disifatkan telah membawa banyak kerosakan kepada rakyat dan negeri ini.


Mereka turut menubuhkan sekretariat khas kempen 'Jom Tolak Pakatan' secara besar-besaran bagi menyedarkan rakyat di negeri ini mengenai salah laku, penyelewengan serta kegagalan pakatan pembangkang mentadbir Selangor hampir lima tahun lalu.

Antara NGO yang terlibat menganggotai sekretariat tersebut adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Waris Malaya, Majlis Belia Selangor, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Jaringan Cina Malaysia (JCM), Nambikai, Kelab Perpaduan Insan Selangor dan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI).

Jurucakap Sekretariat Jom Tolak Pakatan, Hamidzun Khairuddin berkata, sejak mentadbir Selangor pada 2008, pakatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah menyebabkan negeri ini dibelenggu dengan pelbagai krisis, polemik, penyelewengan dan masalah yang tidak pernah selesai.

''Kami selaku rakyat Selangor sudah serik dengan gelagat, perangai putar alam dan dalih para pemimpin pakatan pembangkang. Kami rakyat Selangor menolak kerajaan PKR, DAP dan Pas.

''Atas kesedaran tersebut, kami sepakat dan bersetuju membentuk Sekretariat Jom Tolak Pakatan yang bertujuan untuk melahirkan gelombang penolakan rakyat terhadap PKR, DAP dan Pas. Kempen ini akan digerakkan di setiap akar umbi di seluruh Selangor," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Hamidzun berkata, pihaknya akan memberikan tumpuan sesi penerangan kepada rakyat mengenai kepincangan dan salah laku pentadbiran pakatan pembangkang melibatkan 20 isu utama seperti hutang Talam, manifesto tidak tertunai, perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), tindakan merobohkan asrama Yayasan Selangor dan skandal perlombongan pasir.

Katanya, isu lain yang akan diberikan perhatian adalah salah tadbir urus Universiti Selangor (Unisel), isu kutipan sampah selain pertambahan pusat urut di negeri ini.

''Untuk kempen ini, kita akan mulakan di Meru, Klang esok dan program akan diperluaskan ke setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini," kata beliau.


Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment