Monday, October 18, 2010

JMM dihalang adakan perhimpunan

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Hasrat beratus-ratus orang untuk mengadakan demonstrasi secara aman terhadap portal berita pembangkang, Malaysian Insider di hadapan bangunan Wisma UOA, Bangsar hari ini tidak kesampaian apabila polis menghalang cubaan tersebut.

Usaha mengadakan demonstrasi itu diketuai Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang melahirkan kebimbangan terhadap tindak tanduk portal berkenaan yang dikhuatiri boleh mendatangkan ancaman kepada negara.

Difahamkan hampir 1,000 dijangka menyertai demonstrasi yang sepatutnya diadakan selepas solat Jumaat. Bagaimanapun, polis yang mendapat tahu mengenai rancangan itu bertindak lebih awal menghalang perhimpunan dan perarakan.

Selepas solat Jumaat, polis memanggil empat pemimpin JMM yang dikatakan merancang mengadakan perarakan dan demonstrasi itu.

Mereka dipanggil sejurus selepas selesai menunaikan solat di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq, Bangsar.

Mereka yang dipanggil ialah Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah; Timbalannya, Omar Salleh; Setiausaha Agung, Tengku Amaludin Sani Raja Ahmad Sufian dan Bendahari Agung, Yusuf Mahmud.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis memanggil empat pemimpin itu selepas pihaknya mengetahui pertubuhan itu akan melakukan demonstrasi.

"Namun selepas melakukan perbincangan dan diberikan nasihat, mereka telah dilepaskan tanpa sebarang penahanan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Azwanddin ketika ditemui selepas melakukan perbincangan dengan pihak polis berkata, walaupun hasrat JMM terpaksa dibatalkan, namun beliau bertekad untuk mengadakan demonstrasi itu bagi mendesak Malaysian Insider menghentikan operasi mereka.

Menurutnya, JMM akan menukar waktu demonstrasi selepas ini supaya ia berjaya dilakukan.

Dakwanya, sejurus selesai solat Jumaat itu, telah wujud Gerakan Anti Malaysian Insider (GAMI) yang ditubuhkan JMM untuk menggerakkan demonstrasi tersebut.
-source Utusan Malaysia 15/10/2010

Saturday, October 16, 2010

Perhimpunan Gerakan Anti Malaysian Insider tetap diteruskan

Kenyataan Rasmi

KUALA LUMPUR -15 Oktober  Jaringan Melayu Malaysia (JMM) telah memutuskan untuk terus mengadakan Perhimpunan Gerakan Anti Malaysian Insider - TUTUP & TANGKAP TALIBARUT dan PENGKHIANAT pada masa yang terdekat walaupun 4 pemimpinnya telah ditahan oleh pihak Polis semasa berjalan keluar dari Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar Kuala Lumpur kira-kira jam 1.55petang selepas mengerjakan solat Jumaat tadi.

Thursday, October 14, 2010

Gerakan Perhimpunan Demostrasi Anti Malaysian Insider - Azwanddin

Kenyataan Resmi Yang DiPertua JMM

Kepada Rakyat Malaysia yang saya hormati dan kasihi sekalian.

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengajak tuan/puan, saudara dan saudari ke Gerakan Perhimpunan Demostrasi Anti Malaysian Insider pada 15hb Oktober 2010 (Jumaat) selepas solat Jumaat bermula di perkarangan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Jalan Ara, Bangsar Kuala Lumpur dan akan berarak ke pejabat The Malaysian Insider di Wismna OUA, Bangsar Kuala Lumpur.

JMM menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian dan semangat setiakawan yang telah lama dipupuk untuk bersama-sama turun dan menyertai gerakan perhimpunan ini sebagai membantah tindakan provokasi dan propaganda perkauman yang sering diputarbelit oleh pengkhianat dan talibarut asing- The Malaysian Insider.