Saturday, December 11, 2010

Kegusaran Raja Melayu dan demokrasi

SABAN hari perbincangan tentang kedudukan Sultan dan Raja-raja Melayu menjadi topik hangat dalam perdana atau media elektronik. Ia seolah-olah memperlihatkan budaya politik hari ini sedikit demi sedikit mula mengambil kesempatan untuk mempertikaikan titah raja-raja Melayu.


Sehinggakan pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) sendiri turut menggesa supaya semua parti politik menghormati titah tersebut dan amat signifikan untuk diberi perhatian umum. Pendekatan yang diutarakan ini perlu disambut baik demi kepentingan dan kesejahteraan semua rakyat.

Malaysia merupakan sebuah negara yang paling aman yang berupaya merealisasikan kehendak dan keperluan seluruh masyarakat yang telah sebati dengan kemajmukannya.

Sejarah politik Malaysia sudah membuktikan permulaan isu Raja-Raja Melayu ini apabila keengganan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin melepaskan jawatan tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap keutuhan sistem politik negara.

Perkenan sultan Perak telah ditolak oleh barisan kepimpinan Dewan Undangan Negeri Perak sehingga meminta pertimbangan semula keputusan yang telah dibuat oleh pihak istana bagi memberi laluan yang lebih demokratik iaitu melalui sistem pilihan raya. Proses penerimaan dan penolakan ini membimbangkan semua pihak yang terlibat terutamanya rakyat.

Kemelut pakatan pembangkang yang kelihatan parah ini menjelaskan pergelutan politik yang berlaku antara kerajaan BN dan pembangkang yang masing-masing mahu memastikan negeri Perak menjadi 'taklukan' mereka. Satu persatu isu seperti tanah orang Melayu, pembelian kenderaan rasmi kerajaan negeri, rasuah dan sebagainya dicanang bagi mencetuskan kekecohan.

Penulisan kolum pada kali ini bukanlah hendak menyingkap sejarah lama negeri Perak. Tetapi kesan yang ditinggalkan dalam peristiwa yang berlaku harus dijadikan iktibar dan inisiatif oleh pihak-pihak yang terlibat untuk sentiasa mengambil langkah berwaspada daripada berlakunya peristiwa yang tidak diingini. Ternyata tren politik pada hari ini telah mencabar kedaulatan Perlembagaan Malaysia. Namun apa yang telah berlaku ini mendapat sokongan yang kuat daripada barisan pembangkang yang mahu mempertahankan hak mereka.

Justeru, mereka memilih saluran undang-undang untuk mencapai matlamat. Perlakuan menegakkan benang yang basah dengan menafikan keputusan perletakan jawatan oleh Sultan Perak dilihat sebagai satu bentuk penderhakaan kepada institusi beraja. Malah, demonstrasi di hadapan istana oleh para penyokong parti politik melambangkan keberanian mereka untuk bertindak mengikut lunas-lunas ruang demokrasi.

Ini ditambah dengan sikap kerajaan negeri Perak pada ketika itu iaitu PAS dan DAP mengambil sikap sambil lewa dengan membelakangkan keputusan istana telah menunjukkan keakuran dan ketaatan terhadap institusi kesultanan Melayu itu sudah mula dicabar. Kisah ini tidak pernah lekang daripada dipaparkan dalam mana-mana media sedia ada sama ada di dalam atau luar negara.

Perkara ini menjadi semakin serius apabila terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memanipulasi pemikiran masyarakat dengan menyebarkan unsur-unsur negatif yang berbaur perkauman dan bermain dengan ideologi agama untuk mencemarkan kerukunan dan keamanan negara. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah rakyat atau pemimpin politik melihat institusi beraja di negara Malaysia sudah tidak relevan lagi dalam konteks Perlembagaan Malaysia?

Tren politik semasa telah menjelaskan betapa pemimpin politik kelihatan terdesak sehingga berani menggunakan pelbagai kaedah bagi mencapai matlamat masing-masing. Perkara sebegini telah merencatkan keharmonian proses demokrasi Malaysia. Kedudukan Raja-Raja Melayu sentiasa dilindungi oleh Perlembagaan dan setiap warganegara Malaysia perlu hormat dan sama sekali tidak boleh menafikan kedudukan mereka walaupun berlaku perubahan pemerintahan politik pada masa depan.

Raja-Raja Melayu bukanlah ancaman kepada mana-mana pihak kerana mereka dikekalkan dalam Perlembagaan sebagai sole protector kepada orang Melayu dan juga masyarakat Malaysia secara umumnya. Kehadiran Raja-Raja Melayu tidak ubah seperti penyemak dan pengimbang dalam demokrasi pemerintahan negara.

Sekiranya isu ini diterjemahkan dalam ruang pemikiran yang sempit, pertikaian akan berterusan dan sukar dibendung. Kuasa yang diberikan kepada Raja-Raja Melayu tidak sehebat sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan jika dibandingkan dengan kuasa dan dikotomi politik yang dimiliki oleh parti-parti politik yang menang pada pilihan raya.

Raja-Raja Melayu juga pemerintah yang hebat seperti mana yang dibaca dalam sejarah dunia. Mereka akan terus kekal hebat menjadi pemerintah di negara kita kerana merekalah yang menjadi tulang belakang kepada perpaduan rakyat dan kelancaran pentadbiran negara.

No comments:

Post a Comment