Thursday, October 28, 2010

JMM serah bukti kepada pihak polis

KUALA LUMPUR – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menyerahkan tiga dokumen kepada polis sebagai bahan bukti berhubung dakwaan kes hasutan membabitkan portal berita, The Malaysian Insider, semalam.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah bersama dua individu termasuk Setiausaha Agung JMM, Tengku Amalluddin Sani, hadir di Balai Polis Pantai, kira-kira jam 2.30 petang.


Azwanddin turut dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan berhubung penyerahan bukti itu.

Menurut Azwanddin, beliau menyerah dokumen 30 muka surat sebagai bahan bukti membantu siasatan.

“Dokumen itu mengenai hubungan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) dengan :The Malaysian Insider,: penaja laman portal berita itu dan beberapa artikel berbaur perkauman serta fitnah.

“Jadi kita mahu polis siasat dokumen itu dan setakat ini, polis berpuas hati,” katanya, semalam.

Azwanddin berkata, beliau akan menyerahkan beberapa lagi dokumen kepada polis berhubung isu itu.

“Kita tidak mahu siasatan polis bercelaru dan sebab itu, kita akan serahkan bukti berikutnya pada hari lain,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung rakaman percakapan hampir dua jam itu, Azwanddin berkata, polis berpuas hati dengan kerjasama yang beliau berikan.

Isu mengenai The Malaysian Insider itu tercetus apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jahabar Sadiq diminta Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menjelaskan hubungannya dengan pemimpin Bendera bagi memastikan tiada unsur pengkhianatan dilakukan ke atas Malaysia.
-source Sinar Harian

No comments:

Post a Comment